GULA yang tersembunyi terdapat dalam
makanan.
KEKURANGAN bekalan dan kenaikan
harga runcit gula menimbulkan persoalan.Apa yang ada pada gula sehingga
pengguna yang bijak turut membiarkan diri mereka menjadi semut sanggup berebut
kerana bahan pemanis itu?
Gula memudaratkan kesihatan. Gula
itu racun. Gula penyebab pelbagai penyakit kronik. Ini antara perkara negatif
yang dikaitkan dengan gula. Malah pepatah Melayu ada juga menyebut mati semut
kerana gula.
Namun, di sebalik impak negatif yang
dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan, adalah jelas sesetengah
pengguna di negara ini masih tidak mahu mengambil peduli bahaya yang disebabkan
oleh gula.
Kepada mereka, kesihatan mungkin
bukan isu utama dalam kehidupan mereka. Peringatan atau nasihat baik daripada
pakar pemakanan atau perubatan bak masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Mahu tidak mahu gula pasir menjadi
sebahagian daripada kehidupan masa kini sehinggakan ada yang seperti tidak
boleh hidup tanpa bahan pemanis itu.
Menurut Ensiklopedia bebas, Wikipedia,
bahan utama yang digunakan dalam pembuatan gula ialah tebu kuning dan tebu
hitam.
Dilaporkan kira-kira 107 buah negara
menanam tebu untuk menghasilkan sekitar 1,324 juta tan gula. Negara pengeluar
terbesar gula, mengikut Wikipedia ialah Brazil, India, China dan
Pakistan.
Batang tebu yang tebal menyimpan
sukrosa. Secara ringkasnya, gula dihasilkan daripada air tebu yang kaya dengan
sukrosa.
Rasa gula sememangnya manis tetapi
di sebalik kemanisan itu ia sebenarnya mengundang bahaya. Pada tahun 1929, Sir
Frederick Banting, individu yang menemui insulin iaitu hormon utama mengawal
metabolisme glukos dalam tubuh manusia mendapati, diabetes adalah penyakit
lazim di kalangan pemilik ladang tebu warga asing di Panama sementara pemotong
tebu yang terdiri daripada penduduk peribumi Panama tidak menghidap penyakit
kronik itu.
Sebabnya? Pemilik ladang tebu
mengambil gula putih halus yang dihasilkan daripada tebu pada kadar yang banyak
sedangkan pemotong tebu sekadar mengunyah keratan tebu. Impak negatif gula
putih turut ditekankan oleh pakar pemakanan dunia yang tersohor, Dr. William
Coda Martin.
Punca
penyakit
Pada tahun 1957, beliau tampil
mengklasifikasi gula putih halus sebagai racun. Martin membuat takrifan itu
daripada segi perubatan kerana gula merupakan antara bahan yang jika diaplikasi
ke tubuh, ditelan atau diproses di dalam tubuh akan menyebabkan atau mungkin
menyebabkan penyakit.
Beliau turut mengklasifikasi gula
sebagai racun kerana kandungan vitamin dan galiannya rendah. Apa yang tinggal
hanyalah karbohidrat tulen.
Gula akan melahap vitamin dan galian
yang berharga daripada tubuh manusia untuk tujuan pencernaan dan detoksifikasi.
Pengambilan gula setiap hari juga
dilapor menghasilkan keadaan lebihan asid dan galian di dalam tubuh dan
ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan.
Selain gula pasir dan gula perang
sebagai bahan pemanis, terdapat bahan pemanis lain seperti madu dan sirap maple
serta gula yang tidak dapat dilihat.
Pakar pemakanan tempatan, Mary Easaw
John menjelaskan bahawa gula yang tersembunyi boleh ditemui di dalam roti,
aiskrim, coklat, pastri, pai dan kuih-muih.
GULA dihasilkan daripada batang tebu
yang tingi kandungan sukrosa.
"Untuk membuat roti, ia
memerlukan yis atau ragi. Bahan ini pula memerlukan gula untuk mengaktifkannya
dan memastikan roti menjadi," katanya. Jeli dan jem juga mempunyai
kandungan gula yang tinggi.
Sebagai contoh, 60 peratus kandungan
jem adalah gula. Sepotong kuih pula, katanya, mengandungi setengah sudu teh
gula, sementara minuman berkarbonat pula mengandungi lapan hingga sembilan sudu
teh gula.
Justeru, kita sebenarnya tidak
memerlukan gula pasir halus dalam kehidupan harian. "Apa yang perlu ialah
mendidik cita rasa kita. Kalau hendak pun mengambil gula pasir, enam atau tujuh
sudu teh gula pasir halus sudah memadai. Ini termasuk gula yang tersembunyi
seperti dalam kek dan manisan yang lain.
"Gula yang berlebihan dalam
tubuh manusia akan disimpan sebagai lemak.
"Ini berbeza jika kita makan
sayur atau buah-buahan, ada galian dan vitamin dan ia tidak disimpan dengan
cara begitu," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna
supaya berhati-hati apabila mahu membeli makanan yang sudah diproses.
"Ambil sedikit masa untuk
teliti label makanan. Periksa kandungan lemak dan gula," kata Easaw John.
Sebuah agensi berita Barat baru-baru
ini melaporkan, makanan ringan menjadi punca ledakan penyakit diabetes di rantau
Asia Tenggara.
Kajian mendapati, kira-kira 11
peratus lelaki dan 12 peratus wanita di bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, tanpa
mereka sedar menghidap diabetes Jenis 2, tidak termasuk empat peratus rakyat
negara itu yang disahkan sebagai pesakit diabetes.
Diabetes Jenis 2, paling lazim
disebabkan paras lemak dan gula yang tinggi dalam pemakanan di samping kurang
senaman. Ia boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan penyakit jantung.
Di peringkat global, Persekutuan
Diabetes Antarabangsa menganggarkan menjelang tahun 2025 seramai 147 juta orang
penghidap diabetes berusia 60 tahun atau lebih.
Statistik negara turut menunjukkan
peningkatan dalam jumlah penghidap diabetes.
Pada tahun 2009, sebanyak 17 peratus
daripada 27 juta penduduk menghidap diabetes sementara data tahun 2006 pula
menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obes.
Apakah kita mahu terus menikmati
kemanisan gula dan menjadi penderita penyakit diabetes atau penyakit kronik
lain terutama pada usia senja kita? - Bernama