Sarapan Pagi Yang Menyeronokkan




KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Ingin ketahui rahsia untuk menjadi bijak, gembira dan langsing tubuh badan? Jangan sesekali tinggalkan sarapan pagi!

Ramai yang tidak menyedari perkara ini tetapi memulakan hari dengan sarapan pagi adalah penting bagi membantu seseorang untuk berfikir, merasa dan kelihatan lebih baik. Ia juga penentu suasana untuk hari itu yang seterusnya.

"Kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa mereka yang kerap mengambil sarapan pagi mempunyai sikap yang lebih positif, langsing dan mempunyai prestasi mental yang lebih baik," kata pakar nutrisi Nestle Malaysia, Cher Siew Wei kepada Bernama.

Ini kerana badan kita menggunakan gula atau glukos, dalam darah untuk tenaga. Apabila kita bangun dari tidur, paras gula dalam darah adalah rendah kerana kita 'berpuasa' semalaman. Jadi, dengan pengambilan sarapan pagi yang penuh khasiat dan seimbang akan membantu menyumbangkan tenaga yang cukup untuk memulakan hari anda.

Cher berkata memulakan hari dengan sarapan yang seimbang khasiatnya mempunyai kesan positif ke atas kepekaan, tumpuan dan membantu pelajar dan pekerja meningkatkan sikap yang positif terhadap pelajaran atau tugas masing-masing.

"Tidak menghairankan, jika diberi sarapan yang kaya dalam karbohidrat yang kompleks seperti roti jagung, minuman bijirin penuh dan sarapan bijirin penuh, akan meningkatkan paras glukos otak," kata beliau.

Tambahan pula, katanya, mikronutrien seperti vitamin B kebiasaannya ditambah dalam minuman bijirin penuh dan sarapan bijirin. Vitamin berkenaan akan menggalakkan pengeluaran kimia otak seperti serotonin, yang menghantar mesej "rasa bagus" yang menjadikan anda lebih gembira pada keseluruhan hari.

Sebaliknya, mereka yang meninggalkan sarapan pagi akan mendapati diri mereka tidak gembira dan selesa sepanjang hari tersebut.



MAKAN UNTUK TURUNKAN BERAT

Makan untuk turunkan berat badan mungkin satu konsep yang paradoks kepada sesetengah orang. Namun kajian membuktikan bahawa makan sarapan pagi membantu membendung selera anda untuk hari berkenaan di samping mempertingkatkan metabolisma anda. Ini sudah pasti membantu seseorang untuk mengurangkan berat badan.

Cher berkata peningkatan metabolisme bermula dengan pembakaran maksimum jumlah kalori untuk menjana aktiviti anda.

Adakah anda seorang penggemar-karbo yang sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan? Sarapan pagi adalah masa terbaik untuk mengambil karbohidrat memandangkan anda mempunyai masa sepanjang hari untuk membakar dan menggunakannya sebagai tenaga untuk badan dan otak untuk bekerja. Namun pastikan untuk memilih bijian penuh yang tinggi serat.

Ia adalah cara mudah tanpa rasa bersalah untuk mengambil sedikit karbohidrat dalam hari anda tanpa ia menjejaskan usaha menguruskan badan.



RUGI JIKA TINGGALKAN SARAPAN PAGI

Namun itu bukan semuanya lagi. Adakah pernah anda sedari bagaimana sesetengah orang mencapai "keinginan" dan mengisi penuh hidangan makan tengah hari setelah tidak mengambil sarapan pagi? Mengambil sarapan pagi mungkin boleh membetulkan keadaan ini kerana ia membendung kelaparan yang akan dihadapi kemudian pada hari tersebut, tetapi kebiasaannya berakhir dengan makan berlebihan.

Sebaliknya, mereka yang meninggalkan sarapan pagi mungkin menipu badan mereka untuk mempercayai bahawa ia kelaparan, dan membuatkan badan berada dalam "situasi kelangsungan" dan mula menyimpan lemak. Ini memudahkan mereka menambah berat badan.

Cher berkata, mereka yang meninggalkan sarapan pagi juga dilihat cenderung memilih makanan yang mengandungi tinggi kalori pada waktu makan berikutnya. Untuk jangka panjang, ini boleh membawa kepada pembentukan penyakit kronik.

"Banyak kajian menunjukkan hubungan antara pengambilan sarapan pagi dan pengurusan berat badan. Satu kajian oleh Jurnal Penyelidikan Obesiti pada 2002 melaporkan bahawa 3,000 sukarelawan yang dikaji di Amerika Syarikat mendapati 78 peratus daripada mereka berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan itu hasil pengambilan sarapan pagi setiap hari.

"Hasilnya mendapati bahawa pengambilan sarapan pagi setiap hari adalah satu bentuk lumrah untuk mengekalkan penurunan berat badan," kata beliau.

Manakala satu lagi kajian oleh Universiti Texas, El Paso di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa mengambil sarapan pagi boleh meningkatkan pengeluaran leptin, sejenis hormon yang menyekat selera.



TETAPI SAYA TIADA SELERA PADA PAGI

Jadi kita telah mendapati bahawa sarapan pagi adalah hidangan yang amat penting untuk setiap hari. Namun ramai yang mendakwa bahawa mereka tidak boleh mengambil sarapan pagi walaupun mengetahui pentingnya perkara itu.

Kajian Nutrisi Dewasa Malaysia (2003) menunjukkan bahawa 1 daripada 10 orang dewasa Malaysia tidak mengambil sarapan pagi.

Satu kajian bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle mengenai Status Nutrisi dan Tabiat Diet Pelajar Sekolah Rendah di Malaysia (2007-2008) menunjukkan bahawa satu daripada tiga pelajar sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong.

Alasannya? Daripada 11,371 pelajar sekolah rendah, 45 peratus berkata mereka tidak mengambil sarapan pagi kerana "tidak mempunyai masa", 22.2 peratus "tidak lapar" manakala 17.6 peratus tidak berselera.

"Tiada selera atau tiada masa untuk sarapan pagi adalah sama dengan 'saya tidak mempunyai masa untuk bersenam' sebagai alasan," kata Cher.

"Jika anda mahu membiasakan semula diri untuk bersarapan pagi tetapi 'tiada selera' menjadi halangan, mulakan dengan sesuatu yang sedikit dan senang untuk disediakan dan tumpukan perhatian untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin pagi".

Ibu bapa boleh membeli roti ban dan letakkan sahaja di atas meja untuk anak atau diri sendiri memakannya pada pagi, beliau cadangkan.

Bagi mereka yang tidak boleh mengambil makanan pejal pada pagi, Cher mencadangkan agar mereka memulakan tabiat mengambil secawan minuman panas seperti susu, Milo atau bijirin.

"Kandungan serat dalam minuman bijirin boleh mengalas perut untuk tempoh seketika. Ia mungkin tidak seberat berbanding mengambil sarapan sebenar tetapi ia adalah lebih baik daripada tidak mengambil apa-apa langsung".



TAJA SARAPAN UNTUK TINGKAT PRESTASI

Bagaimanapun kajian Status Nutrisi dan Tabiat Diet Pelajar Sekolah Rendah 2007-2008 menunjukkan bahawa 10.6 peratus daripada kanak-kanak menyatakan bahawa mereka tidak mengambil sarapan pagi kerana tidak ada makanan.

Kekurangan makanan untuk tenaga pada sebelah pagi bukan sahaja akan menjejaskan pembelajaran dan prestasi pelajar di sekolah malahan menunjukkan bahawa ia juga boleh menyebabkan masalah di kalangan mereka.

Pada masa yang sama, prestasi dan produktiviti pekerja juga akan terjejas jika mereka tidak mengambil sarapan pagi.

Oleh itu, Cher bersetuju bahawa adalah lebih baik jika pihak sekolah atau tempat bekerja menaja sarapan pagi yang mudah dan berkhasiat.

"Ia boleh jadi dalam bentuk satu paket minuman bijirin segera, sebiji ban gandum tulen, secawan dadih atau sandwic. Malahan segelas susu akan membantu," katanya.

TETAPI SAYA BANGUN LAMBAT..

Tiada istilah lambat untuk sarapan pagi! Sarapan pagi ditafsirkan sebagai hidangan pertama pada hari anda, yang perlu diambil dalam tempoh satu jam selepas bangun dari tidur.

"Jadi walaupun sekiranya anda bangun hampir waktu makan tengah hari, makanlah sesuatu. Ia masih dianggap sarapan pagi," kata Cher.

Sesetengah kita mungkin memilih untuk menunggu waktu makan tengah hari dan mengambilnya kedua-dua sekali. Cher menasihatkan agar ini tidak dilakukan.

"Sarapan pagi ialah memulakan pengambilan makanan selepas anda 'berpuasa' waktu tidur, jadi sekiranya anda bangun lewat, jangan tunggu untuk hidangan makanan selepasnya. Makan dulu sesuatu.

"Anda tidak boleh menggantikan sarapan pagi dengan memakan lebih pada waktu makan tengah hari, kerana ia tidak berkesan cara itu. Malahan ia boleh membahayakan tubuh badan dan kesihatan," katanya.

PELBAGAI DAN SEDERHANA ADALAH KUNCI

Sungguhpun mengambil sarapan pagi adalah digalakkan, sesetengah sarapan pagi boleh memberi kesan sebaliknya.

Cher berkata, sarapan pagi rakyat Malaysia yang popular seperti nasi lemak dan roti canai boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan sekiranya diambil secara kerap.

"Tidak apa kalau makan nasi lemak sesekali. Tetapi pastikan anda mengambil nasi lemak yang biasa dan elakkan daripada menambah lauk rendang, ayam goreng atau benda yang berlemak," nasihat beliau.

Cher juga menasihati orang ramai untuk mengambil makanan yang berbeza-beza untuk sarapan pagi agar mereka mendapat manfaat daripada pelbagai jenis nutrisi.

Bagi yang tidak mempunyai masa pada setiap pagi, beliau mencadangkan mereka membawa bersama kepingan muesli, sebiji buah atau ban gandum tulen. Mereka juga boleh memilih produk tenusu seperti keju dan dadih atau pilih sahaja biskut gandum penuh.

-- BERNAMA