Baru-baru ini Perdana Menteri
Malaysia telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear
sebagai penjana tenaga elektrik negara. Dengan itu, Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air telah diminta mengenal pasti lokasi pembinaan loji nuklear
negara pertama. Loji ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2021. Tenaga
nuklear dipilih kerana ia dianggap "effisien dan efektif" apatah
lagi dalam keadaan dunia masa kini yang menunjukkan bahawa penggunaan
petroleum dan arang batu untuk menjana elektrik negara sebagai tidak lagi
sesuai kerana kenaikan harga kedua-dua sumber tersebut dan juga tekanan
terhadap alam sekitar akibat penggunaan bahan api fosil tersebut.
Malah, di peringkat serantau juga,
penggunaan tenaga nuklear semakin menjadi pilihan. Misalnya, negara Thailand,
Vietnam dan Indonesia juga sudah mulai menuju ke arah penghasilan tenaga
elektrik berasaskan tenaga nuklear. Thailand dijangkakan mula menggunakan
tenaga nuklear menjelang tahun 2012, Vietnam pada tahun 2018 dan Indonesia
pada tahun 2016. Berdasarkan perkembangan ini maka jelas bahawa penggunaan
tenaga nuklear dalam penghasilan tenaga elektrik semakin mendapat perhatian.
Selanjutnya, bagi menjayakan
rancangan penggunaan tenaga nuklear ini, Perdana Menteri Malaysia telah
menjemput masyarakat awam untuk sama-sama menyumbangkan pandangan terhadap
rancangan ini. Oleh itu sewajarnyalah masyarakat awam menyuarakan pandangan
mereka terhadap rancangan penggunaan tenaga nuklear ini. Namun, sebelum
memberikan pandangan, seeloknyalah mereka melengkapkan diri dengan
pengetahuan tentang baik-buruk penggunaan tenaga nuklear.
Dari segi kebaikan, terdapat
beberapa kelebihan penggunaan tenaga nuklear untuk menghasilkan elektrik.
Antaranya, tenaga nuklear dikatakan dapatmenjana tenaga dalam jumlah yang
banyak dan pada satu jangka masa yang panjang berbanding penjanaan tenaga
elektrik menggunakan bahan api fosil seperti petroleum dan arang batu. Ini
kerana penggunaan bahan uranium (bahan utama logi tenaga nuklear) akan
menghasilkan lebih banyak tenaga untuk jangkasama yang panjang. Dikatakan,
satu tan uranium boleh menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding penggunaan
beberapa million tan arang batu atau beberapa million barrel minyak.
Keadaan ini pastinya merupakan satu berita baik kerana bahan api fosil
semakin berkurangan.
Tenaga nuklear juga dikatakan
sangat mesra alam. Penghasilan tenaga elektrik dengan menggunakan tenaga
nuklear tidak akan mencemarkan udara. Ini kerana logi tenaga nuklear tidak
akan membebaskan gas-gas rumah hijau seperti karbon, methane,
ozon dan CFC semasa beroperasi dan dengan itu tidak mencemarkan udara. Dalam
hal ini, ia akan membantu mengurangkan kesan rumah hijau. Selain itu,
pembinaan logi nuklear juga tidak memerlukan kawasan yang besar dan dalam
jangka masa panjang, tenaga nuklear akan menghasilkan tenaga elektrik yang
lebih murah kerana kos operasinya yang rendah. Ini pastinya satu berita baik
kepada pengguna.
Di sebalik kelebihan tenaga
nuklear ini, terdapat juga beberapa keburukan penggunaan tenaga nuklear.
Antara keburukan tersebut ialah, tenaga nuklear boleh memberi kesan tidak
baik kepada kesihatan manusia. Ini kerana, tenaga nuklear menghasilkan
radiasi. Radiasi ini sangat berbahaya kepada tubuh badan manusia kerana
radiasi itu boleh merosakkan sel badan. Selain itu, bahan radioaktif yang
terhasil daripada aktiviti penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga
nuklear juga amat berbahaya dan kos menguruskannya juga amat tinggi. Bahan
radioaktif ini, jika dilepaskan ke alam sekitar, akan bertahan untuk satu
jangka masa yang lama sebelum ia mencecah tahap selamat kepada manusia.
Tenaga nuklear bergantung kepada bahan uranium. Uranium dikategorikan sebagai
bahan api tidak boleh diganti (non renewable energy) sama seperti
petroleum dan arang batu. Walaupun buat masa ini, sumber uranium masih banyak
tetapi ia juga akan berkurangan jika terus digunakan. Oleh itu, ia juga akan
habis pada satu masa nanti.
Kekurangan lain yang juga sering
dikaitkan dengan penggunaan tenaga nuklear ialah risiko kemalangan di loji
tenaga nuklear. Jika kemalangan ini berlaku, masalahnya sangat besar dan
kesannya akan mengambil masa yang panjang untuk hilang. Sebagai contoh, kemalangan
reaktor nuklear di Chernobyl pada April 1986. Dikatakan bahawa, tragedi
letupan reaktor nuklear ini merupakan yang terburuk dalam sejarah dunia.
Letupan ini telah membebaskan 300 kali lebih bahan radioaktif berbanding
peristiwa pengeboman Bandar Hiroshima.
Radioaktif itu tersebar luas
hingga ke bahagian Barat Kesatuan Soviet, Timur dan Barat Eropah,
daerah-daerah Scandinavia, British Isles dan Timur Amerika Utara. Di samping
itu, kontaminasi teruk berlaku di kawasan-kawasan Ukraine, Belarus, dan Rusia
hingga memaksa lebih daripada 336,000 orang penduduk dipindahkan dari
rumah-rumah mereka.
Satu laporan yang disediakan oleh International Atomic
Energy Agency (IAEA) and World Health Organization (WHO), menunjukkan bahawa berlaku 56
kematian serta-merta. Manakala, dianggarkan dalam 6.6 juta orang yang telah
terdedah kepada radiasi letupan itu, 9000 daripadanya dijangkakan akan mati
akibat pelbagai jenis penyakit kanser.
Akhir sekali, isu keselamatan.
Logi nuklear berpotensi untuk disalahgunakan bagi tujuan keganasan. Sama
ada keganasan berbentuk manipulasi bahan itu untuk tujuan tidak baik ataupun
kemungkinan logi diserang atau diambil alih oleh pengganas. Dalam keadaan
ini, kawalan keselamatan yang sangat ketat amat diperlukan.
Berdasarkan penjelasan ini, nyata
bahawa terdapat banyak cabaran yang perlu diambil kira jika tenaga nuklear
ingin digunakan. Walaupun penggunaan tenaga nuklear punya beberapa faedah,
namun timbangan baik-buruknya harus dilakukan sebaik, seadil dan secara
sangat terperinci agar implementasi rancangan ini tidak membawa mudarat sama
ada kepada manusia mahupun alam secara keseluruhan.
Dalam pandangan hidup Islam,
terdapat satu prinsip penting yang menyatakan bahawa "ditegah untuk
membuat sesuatu usaha melainkan setelah mengenal syarat-syaratnya". Bagi
menjelaskan lagi perkara ini Dr. Mohd Sani Badron dalam kertas kerja beliau
yang bertajuk "Kewajipan Menguasai Sains: Fardu ‘Ayn-kah atau
Fardu Kifayah?" menyebut bahawa "[satu] contoh yang pernah
dikemukakan oleh al-Khawarizmi dalam Mubid al-Humum wa Mufid al-‘Ulum,
ialah dicegah menjalankan perniagaan melainkan sesudah mempelajari kaifiat
dan syarat-syarat mu'amalat bagi seseorang peniaga". Tambah beliau lagi
"[hal] ini dilaksanakan Saidina Umar dalam sistem pendidikannya sehingga
tiadalah berniaga di pasar kaum Muslim melainkan mereka yang memahami
perniagaan berlandaskan Islam hingga tidak lagi keliru mengenai sebarang
perkara yang boleh menerbitkan penindasan terhadap golongan pembeli seperti
riba."
Dengan itu, secara mudahnya, dapat
kita sebutkan bahawa, berdasarkan prinsip yang disebutkan di atas, setiap
daripada kita adalah dilarang melakukan sesuatu melainkan kita telah
benar-benar memiliki ilmu berkaitan dengan perkara yang ingin dilakukan itu.
Sebagai contoh, jika kita ingin menjadi tukang jahit, maka sebelum menjadi
tukang jahit, segala ilmu berkaitan dengannya wajiblah diperoleh terlebih
dahulu sebelum memulakan kerjaya ini. Ketetapan ini sememangnya amatlah wajar
bagi mengelakkan si tukang jahit merosakkan tempahan baju yang dihantar
pelanggan. Samalah halnya dalam isu tenaga nuklear ini. Sebelum implementasi
program ini hendak dilaksanakan maka segala bentuk maklumat tentang
baik-buruknya untuk negara dan masyarakat Malaysia wajiblah dikaji
sedalam-dalamnya.
Selain daripada prinsip yang
disebutkan ini, di dalam al-Quran kita telah diingatkan bahawa, "...janganlah
kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan baikilah
perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya" (Surah al-Baqarah, 2:195). Dengan
paparan ayat ini maka dapat kita simpulkan, dalam kes si tukang jahit
sebentar tadi, bahawa jika tidak tahu ilmu jahitan, maka janganlah berani
menceburkan diri dalam bidang itu. Ini kerana, kedegilan untuk menceburi bidang
itu akan menyebabkan si tukang jahit ditimpa malang kerana mungkin dimarahi
pelanggan kerana gagal menyiapkan tempahan atau merosakkan tempahan yang
dihantar. Bukankah ini hanya membinasakan diri si tukang jahit tersebut?
Dalam isu tenaga nuklear ini pula, jika kemudaratan program ini jelas maka
seeloknyalah ia ditangguh atau dicari alternatif yang lain.
Berkaitan dengan alternatif,
sememangnya terdapat alternatif atau pilihan lain dalam menghasilkan tenaga
elektrik. Sebagai contoh, tenaga yang dinamakan sebagai tenaga gantian.
Amnya, tenaga gantian ini membawa maksud sumber tenaga yang tidak berasaskan
pembakaran bahan fosil atau pemecahan atom. Sekurang-kurangnya terdapat lima
bentuk tenaga gantian dalam dunia. Tenaga tersebut adalah tenaga suria, angin,
geotermal, ombak dan hidroelektrik. Tenaga gantian ini juga dikenali sebagai
tenaga hijau iaitu melibatkan manipulasi alam untuk menjana tenaga elektrik.
Bagi menggantikan tenaga nuklear,
sebaik mungkin dijalankan kajian untuk melihat kebolehgunaan tenaga gantian
ini sebagai tenaga penjana elektrik negara. Jika ini berjaya dilakukan maka
barulah boleh diakui "Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi
hijau." Jika usaha, tenaga dan wang ringgit boleh digunakan untuk
mengkaji kebolehgunaan tenaga nuklear maka usaha, tenaga dan wang ringgit
yang sama juga seharusnya ditumpahkan untuk menghasilkan tenaga hijau. Ini
kerana, sebagaimana petroleum dan arang batu boleh mencapai tahap sukar
didapati (scarce) maka begitu jugalah uranium pada satu masa nanti. Oleh itu,
hendak atau tidak, akan tiba masanya manusia terpaksa bergantung kepata
tenaga gantian. Jadi, kenapa tunggu nanti? Usaha ke arah itu seharusnya
dilaksanakan sekarang!
|
Tenaga Nuklear Sebagai Penjana Tenaga Elektrik Negara
Tenaga Nuklear Sebagai Penjana Tenaga Elektrik Negara
2013-03-14T09:58:00+08:00
Unknown
INFO|