Pages

Makanan Bergoreng: Lazat Membawa Akibat



Sebut sahaja makanan bergoreng, sudah terbayang keenakan dan kelazatannya. Ayam goreng, ikan goreng, pisang goreng, kentang goreng, nugget merupakan antara contoh makanan bergoreng yang sering diambil oleh masyarakat kita pada hari ini. Ia digemari ramai tanpa mengira usia dan latarbelakang. Kadangkala, makanan bergoreng tersebut menjadi satu sajian yang mesti diambil pada setiap hari. Sesetengah orang amat menggemari makanan bergoreng sehinggakan tanpanya tiada selera untuk makan atau mungkin akan menimbulkan tekanan jika tidak mengambilnya.

Ayuh kita meneliti, mengapakah kelazatan sesuatu makanan bergoreng itu tidak boleh disangkal? Ia dikatakan lazat kerana terendam dalam minyak yang penuh dan ditambah rasa dengan pelbagai perencah garam dan gula. Minyak mengandungi kandungan lemak yang tinggi dan ini membawa kepuasan kepada setiap orang yang mengambilnya. Sebab itu, kelazatannya menyebabkan kita terus ghairah dalam pengambilannya kerana ia juga membangkitkan selera. Namun, perlu kita sedari di sebalik keenakkannya tersembunyi mudarat yang bakal membawa padah kepada kesihatan.



Mengapa sebenarnya makanan bergoreng atau kebanyakannya dikategorikan sebagai makanan segera atau terproses tidak digalakkan untuk diambil? Secara umumnya, terdapat sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa vitamin dalam makanan bergoreng seperti kentang goreng, ayam goreng dan sebagainya. Namun, kebanyakan bahan tersebut, tinggi kandungan kalorinya, direndam dalam lemak dan tinggi gula serta garam. Makanan tersebut kekurangan serat dan kebanyakan vitamin serta zat galian yang diperlukan oleh tubuh. 

Beberapa jenis vitamin B yang digunakan dalam proses detoksifikasi menjadi berkurangan. Pelbagai jenis vitamin yang bersifat antioksida seperti vitamin A, C, E dan mineral seperti Zink juga akan berkurangan. Oleh itu, dalam hidangan itu, kekurangannya ialah keseimbangan zat makanan yang diperlukan bagi setiap menu untuk pemakanan yang lebih sempurna.

Apabila sesuatu makanan dikategorikan sebagai tinggi kalori bermakna kita akan cenderung untuk mengambil kalori yang lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh badan apabila kita mengambil makanan bergoreng tersebut. Tidak salah untuk kita mengambilnya, tetapi memakan secara berterusan akan menimbulkan akibat yang dapat merosak kesihatan jasmani seseorang. Jika dilihat kepada piramid makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, minyak dan lemak merupakan unsur makanan yang perlu diambil paling sedikit berbanding kategori makanan yang lain kerana ia berada di puncak piramid makanan tersebut.



Pada hari ini, minyak sayur- sayuran banyak digunakan di rumah, kedai atau restoran sebagai minyak untuk menggoreng makanan seperti minyak sawit dan juga kelapa. Terdapat juga sesetengah pengguna, menggoreng makanan menggunakan minyak poli tidak tepu yang kaya dengan omega 3 dan omega 6 seperti minyak bunga matahari, minyak jagung dan minyak safflower. Minyak tersebut dikatakan mampu menyeimbangkan paras LDL (kolesterol jahat) dan HDL (kolesterol baik) di dalam badan kita. Namun, apa yang ingin ditekankan disini ialah penggunaan minyak masak yang banyak dan berterusan akan mengakibatkan masalah kesihatan.

Apabila minyak dipanaskan untuk memasak atau menggoreng, ia akan membentuk sebatian lipid hidroperoksida yang akan bertindak balas dan akan membentuk radikal bebas di dalam tubuh. Radikal bebas ialah sejenis bahan kimia yang berupaya menyebabkan kerosakan sel termasuklah DNA di dalam badan kita dan seterusnya boleh menyebabkan kanser. Secara semulajadinya, radikal bebas akan disingkirkan oleh antioksidan di dalam badan atau yang terdapat di dalam makanan. Namun, apabila penghasilan radikal bebas terlalu cepat dan banyak, ia akan melemahkan tubuh dan memudaratkan kesihatan. Sebab itulah, kita tidak boleh mengambil terlalu banyak makanan yang bergoreng melebihi keperluan tubuh. Walaupun minyak masak juga diperkaya dengan bahan antioksidan secara semulajadi seperti vitamin E dan bioflavonoid, ia akan teroksida dan berubah sifatnya kepada lipid hidroperoksida apabila dipanaskan.

Apabila kita menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng berulang kali, minyak tersebut akan berubah warna menjadi kehitaman. Sebenarnya para suri rumah atau penyedia makanan seharusnya sedar, pada tahap inilah minyak tersebut perlu dibuang dan tidak boleh digunakan lagi. Proses penghidrogenan yang telah berlaku ke atas minyak tersebut akan memudaratkan kesihatan. Namun, jika kita lihat, sesetengah suri rumah atau penyedia makanan masih lagi menggunakan minyak tersebut dengan alasan ia masih boleh digunakan dan kadangkala untuk menjimatkan penggunaan minyak sedangkan mereka tidak mengetahui keburukan yang sedang menanti di sebaliknya.



Dalam penyediaan seperti ayam goreng, pisang goreng dan kentang goreng, minyak yang penuh pada suhu yang agak tinggi diperlukan. Ia akan menyebabkan minyak masak akan bertukar kepada bahan yang dikenali sebagaipolycyclic aromatic hydrocarbons (PAH). Ia dikenalpasti sebagai bahan penyebab pembentukan kanser. Pengambilan makanan bergoreng secara berterusan juga boleh mengakibat kerosakan fungsi hati yang menjalankan tugas detoksifikasi dalam badan kita. Sebab itulah kita perlu berhati-hati dalam penggunaan minyak dan pengambilan makanan bergoreng kerana kemudaratan itu mungkin lewat tiba atau datang secara tiba- tiba tanpa dipinta.

Pengambilan makanan bergoreng secara berpanjangan, akan mengundang mudarat tanpa kita sedari. Banyak penyakit yang berlaku pada hari ini, tiba- tiba terus dikategorikan sebagai kronik atau tahap yang bahaya oleh pakar perubatan. Ini kerana, pemusnahan sel- sel badan juga berlaku secara perlahan tanpa disedari oleh tuan punya badan. Pelbagai penyakit alahan juga sering timbul pada hari ini yang kadangkala kita sendiri tidak tahu apakah punca yang sebenarnya. Oleh itu, seharusnya kita mengambil berat tentang pemakanan dan mempertimbangkan dengan tindakan yang terbaik. Bukannya mencari penyebab untuk menempah penyakit yang akhirnya mengundang maut. Barangkali, ada sesetengah daripada kita masih merasai kesihatan dan suka makan makanan bergoreng, maka hargailah nikmat tersebut dengan makan secara berpada- pada serta mengambil langkah- langkah tertentu. Ia termasuklah mengambil makanan yang kaya dengan antioksidan seperti sayur- sayuran dan buah- buahan kerana mencegah itu lebih baik daripada berubat.



Walaupun makanan yang bergoreng adalah lebih lazat, tetapi kandungan yang tersembunyi di dalamnya cukup untuk mengundang kepada penyakit yang tidak diingini jika kita mengambilnya secara keterlaluan. Justeru, pendekatan yang dianjurkan oleh Islam yang menggalakkan bersederhana (wasatiah) walaupun dalam bab pemakanan perlu diambil kira. Ini kerana, terlalu banyak mengambil makanan yang melebihi keperluan kita juga boleh menyebabkan masalah kesihatan dan kurang mengambil makanan juga menampilkan kesan yang buruk. Secara tuntasnya, kita sebagai pengguna sepatutnya mampu serta bijak dalam memilih makanan yang terbaik untuk diri kita serta mengutamakan sumber halal agar kesihatan rohani kita juga tetap terjamin.