Kerajaan bersedia menawarkan tempoh enam bulan untuk pekilang dan pemasang kenderaan di negara ini yang tidak mampu mematuhi peraturan baharu untuk memasang beg udara dalam kenderaan mereka pada 1 Januari tahun depan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kementerian itu bersedia berbincang dengan dua pihak berkenaan dan menawarkan tempoh lanjutan itu secara kes demi kes. "Kita sedia berikan kelonggaran masa, mungkin enam bulan untuk mereka mematuhi peraturan tersebut.
"Kita bukan tidak memikirkan yang wajar, jika anda ada masalah untuk mematuhi, datang untuk bincang dengan kita," katanya selepas melancarkan cawangan baharu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini semalam. Beliau berkata, semua kenderaan kecuali pacuan empat roda akan dikehendaki dipasang dengan beg udara mulai tahun depan sebagai salah satu usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Katanya, kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menunjukkan bahawa beg udara dan tali pinggang keledar boleh membantu untuk menyelamatkan nyawa semasa kemalangan jalan raya. Cho Ha memberitahu, dua syarikat pengeluar kereta nasional iaitu Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) telah memberikan jaminan untuk memastikan mereka mematuhi peraturan baharu itu.