KUALA LUMPUR 23 Jan. - Para pengedar telefon dan penyedia telekomunikasi tempatan kini mengalami lonjakan jualan yang besar selepas kerajaan memutuskan untuk membenarkan pemberian rebat RM200 bagi kesemua jenis telefon pintar.
Malah, sesetengahnya berhadapan masalah baharu, iaitu mereka tidak mempunyai telefon yang mencukupi untuk dijual, berikutan lonjakan permintaan tersebut.
Langkah kerajaan mengetepikan had membeli telefon pintar bernilai RM500 satu atau kurang dijangka memanfaatkan kira-kira sejuta belia berusia antara 21 dan 30 tahun yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Sdn Bhd Jason Lo berkata sejak pengumuman tersebut, permintaan mendapatkan telefon pintar telah meningkat lebih 50 peratus.
Tune Talk adalah salah satu penyedia perkhidmatan bagi pakej itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Pengumuman itu adalah langkah yang baik oleh kerajaan. Kami menerima sekitar 10 hingga 15 permohonan baharu mendapatkan rebat setiap hari dan bilangan itu semakin meningkat," katanya. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130123/dn_21/Peniaga-telefon-catat-lonjakan-jualan-telefon-pintar#ixzz2Ilg6ZCOu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Peniaga telefon catat lonjakan jualan telefon pintar