Assalamualaikum dan selamat pagi semua pembaca berita. Hari ini kami tidak ada banyak kerja, jadi kami bolehlah melayari internet dan mencari isu-isu menarik dan hangat. Semasa kami melayari laman web sosial utama penduduk dunia iaitu facebook, kami terjumpa satu artikel menarik. Artikel didalam facebook berbunyi :
Surat Siti Hajar Aladin Kepada Najib Razak (Perdana Menteri).
Gaji Bersih RM2032 di KL? Simpanan RM213.40.
Boleh Beli Rumah Apa?
Surat dari Siti Hajar ini sebenarnya telah menjadi viral didalam facebook, dan rata-rata kawan facebook kami sharekan artikel beliau. Setelah artikel ini menjadi viral, artikel ini telah mendapat tempat didalam laman web Berita Semasa pada 25 September 2013 (semalam). Berikut adalah surat beliau kepada dato' seri najib (telah diedit semula oleh berita semasa, dan ditambah gambar serta beberapa link berkaitan oleh kami).....
Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya (Siti Hajar) menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri. Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat Malaysia.
Saya menulis surat ini adalah…sifat keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhirini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Surat Siti Hajar Aladin : BR1M @ Subsidi Minyak?
Dato Seri Najib Razak, Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?
Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
- Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
- Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
- Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
- Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
- Parking : 23 hari x RM5 = RM115
- Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
- Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
- PTPTN : RM150 (minimum)
- Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
- Ibu Ayah = RM200
- Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
- TOTAL BAKI : RM213.40
Surat Siti Hajar Aladin : Lonjakan Harga Rumah di Malaysia
Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.
Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.
Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.
Surat Siti Hajar Aladin : Gaji Rakyat Malaysia?
Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.
Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri Najib Razak dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.
Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin
Setelah kami baca surat daripada Siti Hajar ini, Kami duduk sejenak........Kami fikir beberapa minit......dan memutuskan memang benar apa yang dikatakan oleh siti hajar ini, juga tidak salah kalau kami kongsikan artikel ini buat pedoman kawan-kawan sekalian.
Masalah yang dikemukakan oleh Siti Hajar ini bukan sahaja dialami oleh beliau, malah kami sendiri, bahkan oleh majoriti penduduk Malaysia yang berpendapatan sederhaha dan berpendapatan rendah. Kami cuba kaitkan dengan apa yang dihadapi oleh kami sekarang...
Contoh pertama yang dikemukakan oleh Siti Hajar berkenaan BR1M @ Subsidi Minyak, Bantuan ini telah kami BR1M ini bukan nya semua orang layak, Dahulu kami pernah apply BR1M (suami kerja dengan gaji kasar RM2100, dan isteri tidak bekerja), status yang kami terima adalah TIDAK LAYAK. Pelik atau tidak?? Walhal pada masa itu syarat BR1M adalah RM3000 kebawah bagi seisi rumah. Kami membuat rayuan permohonan BR1M, dan masih mendapat jawapan serupa iaitu TIDAK LAYAK. Tidak dapat dipastikan dimana silapnya, adakah kami yang silap semasa membuat permohonan atau silap dipihak yang memproses borang permohonan kami. Kami redha kan sahaja, mungkin bukan rezeki kami..
Contoh kedua yang dikemukakan oleh Siti Hajar berkenaan Lonjakan Harga Rumah di Malaysia. Walaupun kami belum membeli rumah dan masih menyewa rumah orang, tetapi kami mempunyai ramai kawan-kawan yang pernah membeli rumah. Kawan kami ada membeli sebuah rumah teres satu tingkat dengan keluasan 15x60 feet di area kuantan, beharga RM153,000. Sebulan selepas itu, seorang lagi kawan kami membeli rumah dikawasan yang sama dengan keluasan yang sama, tetapi berbezanya adalah harga rumah itu telah naik RM5000 dari harga bulan lepas, menjadi RM158,000!!!. WTH (wa tak tahu)!!! 5k/month?? Bayangkan! Bukan nya gaji kami naik mendadak macam tu!
Contoh ketiga yang dikemukakan oleh Siti Hajar berkenaan Gaji Rakyat Malaysia. Gaji mereka yang bekerja di sektor awam mungkin rendah, tetapi mereka diberikan kemudahan elaun perumahan, elaun COLA dan macam2 elaun yang tak pernah didengar sebelum ini. Yang bekerja di sektor swasta pula, mereka dibayar gaji tetapi gaji yang dibayar adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki. Contohnya yang ada degree, sepatutnya dapat dalam RM2300, tetapi ada yang masih dibayar RM1800, iaitu seperti taraf diploma. Yang mempunyai diploma pula dibayar seperti gaji SPM sebanyak RM1100. Kalau 20 tahun dahulu, memang kerja kan cari kamu, tak kira la kamu taraf apa pun. Tetapi keadaan telah berubah dimana even yang ada taraf degree dan diploma sekarang pun terpaksa bekerja di kilang sebagai operator dan technician. Gaji jangan cakap lah, memang tak pandang pun kelayakan yang kami ada..Sekarang ini graduan sudah terlampau banyak dan ada yang menganggur sehingga 2 hingga 3 tahun. Ada juga yang mempunyai Master tetapi bekerja di kedai buku kerana peluang perkerjaan yang ditawarkan adalah sangat sedikit.
Eh panjang lebar pulak berceloteh...kami sertakan juga facebook profile dan blog milik siti hajar. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang beliau, dipersilakan....
Facebook profile : Siti Hajar Aladin (follower ada 4,529 !!)
Blog : Siti Hajar Aladin